I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, May 10, 2011

MENGAPA HARI IBU?


1. Terdapat banyak jenis hari dalam kehidupan kita. Tidak cukup dengan tujuh hari yang telah diterima pakai oleh seluruh manusia, ditambah pula dengan hari Ibu. Wujud juga jenis hari yang lain seperti hari bapa, dan tidak mustahil akan dicipta pula hari isteri dan suami selepas ini. Tidak berapa lama lagi kita akan menyambut hari guru pula.

2. Telah banyak komen tentang hari ibu ini, ada yang pro dan ada yang kontra dengan hujjah masing-masing. Sehingga ada yang membuat kesimpulan bahawa haram hukumnya menyambut hari ibu kerana ia berasal daripada agama lain. Tidak semudah itu untuk menghukum. Di sini bukan untuk mengulas pro atau kontra, kerana boleh jadi bagus ada hari ibu ini bagi mereka yang memang tidak pernah mengingati dan mendoakan kedua orang tuanya. Maka hari ibu menjadi tazkirah baginya. Adapun bagi mereka yang sentiasa ingin menjadi anak soleh, maka hari ibu ini tidak bernilai sedikit pun, kerana baginya hari ibu adalah setiap hari.
3. Setiap hari adalah hari ibu, bahkan hari bapa juga sebenanrnya, kerana Allah Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita agar bersyukur kepadaNya dan kepada kedua ibu bapa kita. Allah SWT telah anugerahkan pelbagai nikmat kepada kita, dan salah satu nikmat tersebut ialah lahirnya kita ke atas muka bumi yang fana’ ini. Kita lahir dan wujud adalah kerana ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 12:

Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepadaKulah kamu kembali.

4. Ibu bapa berada pada kedudukan yang tinggi dalam konteks kesyukuran yang perlu diterjemahkan dengan tindakan dalam kehidupan seharian, bukannya sehari dalam setahun. Kita bersyukur kepada Allah kerana Dia adalah pemilik nikmat, maka begitu juga kedua ibu bapa yang dengannya kita mendapat nikmat Allah Azza wa Jalla.

5. Kedua ibu bapa berhak untuk menerima ucapan terima kasih dan syukur, namun ia tidak memadai jika sehari dalam setahun. Oleh sebab itulah Allah berfirman sejurus selepas menceritakan perihal orang yang beriman dan beramal soleh, firmannNya dalam surah al-Ankabut ayat 14 bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh berhenti menyusunya ialah dalam masa dua tahun.

6. Maka kita diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla untuk melakukan semua perkara kebaikan terhadap kedua ibu bapa kita. Khususnya ibu kita yang telah mengandungkan, melahirkan dan menjaga kita sewaktu kecil. Oleh sebab itu Islam mengajar kita agar mengutamakan seorang ibu. Diriwayatkan daripada Bahzu bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya berkata:

Ya Rasulullah SAW, dengan siapakah perlu aku berbuat baik? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ayahmu. (Riwayat al-Tirmizi)

7. Setiap hari adalah hari ibu bapa. Sebanyak mana kebaikan yang dilakukan oleh seseorang terhadap kedua ibu bapanya, ia masih tidak setimpal dengan pengorbanan dan kasih sayang yang di berikan oleh mereka berdua. Ibn Hajar al-Haithami (973H) menyatakan:

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar melihat seorang lelaki yang mendukung ibunya di belakangnya sambil melakukan tawaf, dia berkata: Wahai Ibn Umar, adakah engkau telah melihat aku membalas jasanya? Ibn Umar menjawab: Belum lagi walau sedikitpun, tetapi kamu telah melakukan kebaikan, Allah SWT akan memberikan ganjaran yang banyak ke atas yang sedikit. (Ibn Hajar al-Haithami: al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair, Maktabah al-‘Asriah, Lubnan, jld 2 hlmn 650)

8. Oleh itu, sangat pelik jika kita mengkhususkan sehari sahaja untuk ibu bapa kita. Jika sepanjang hayat kita mengabdikan diri untuk mereka, sedikit pun tidak akan terbalas, inikan pula hanya sehari dalam setahun. Tambahan pula keberkatan hidup kita seluruhnya juga sangat bergantung dengan mereka berdua, kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Namun jika kita menyakiti mereka berdua, Allah tidak akan menangguhkan balasannya. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah bahawa nabi SAW bersabda:

Semua dosa, Allah SWT akan tangguhkan (balasannya) hingga hari kiamat jika Dia menghendakinya, kecuali dosa derhaka kepada kedua ibu bapa, Allah SWT akan percepatkannya ketika masih hidup sebelum meninggal dunia. (Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim)

9. Bagaimana hanya sehari sahaja dalam setahun?, sedangkan Islam memerintahkan kita untuk terus berbuat baik kepada keduanya walaupun selepas kematian mereka. Diriwayatkan daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah al-Sa’idi berkata, ketika kami bersama Rasulullah SAW, datang seorang lelaki daripada Bani Salamah berjumpa dengan nabi SAW lalu berkata:

Ya Rasulullah SAW, adakah masih ada lagi sebarang kebaikan yang boleh aku buat selepas kematian kedua ibu bapaku? Rasulullah SAW menjawab: Ya, doakan mereka berdua, pohonkan kempunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, sambungkan silaturrahmi yang tidak akan berlaku melainkan dengan mereka, dan muliakanlah kawan-kawan mereka berdua. (Riwayat Abu Daud)

10. Sehari tidak cukup, kita memerlukan lebih banyak masa dan tindakan. Para ulama’ juga memberikan pandangan terhadap amalan yang boleh menjadikan kita dikira berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Antaranya ialah Imam Ahmad, katanya:

Barangsiapa yang mendoakan untuk kedua-duanya ketika tahiyat di dalam solat, maka dia telah berbuat baik kepada mereka. Dan lebih afdhal jika seseorang bersedekah, maka diniatkan separuh pahalanya untuk mereka berdua.

11. Islam mendidik manusia supaya meletakkan kedua ibu bapa pada darjat yang tinggi. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia sebelum ini. Sehingga beberapa hukum dalam syariah juga dapat kita kesan menuju ke arah itu, hasil daripada istinbat dan istidlal pelbagai nas sama ada umum atau khusus. Ibn Qudamah (620H) menyatakan:

Tidak dikenakan hudud ke atas ibu bapa di dalam qisas, curi dan qazaf. Bagi seorang ayah boleh mengambil harta anaknya jika memerlukan, dengan syarat tidak berniat buruk, bukan untuk kepentingannya dan bukan untuk diberikan kepada anaknya yang lain. (Ibn Qudamah, al-Mughni)  

Manakala Ibn Muflih (763H) pula menegaskan bahawa:

Tidak boleh bagi seorang anak menuntut hutang daripada kedua ibu bapanya, tidak boleh meminta gantian barang yang rosak, dan juga tidak boleh menuntut pampasan jenayah daripada mereka. (al-Mubdi’ fi Syarh a-Muqni’, al-Maktab al-Islami, Beirut, jld 5 hlmn 384)

12. Begitu sekali peraturan dalam Syariat Islam. Oleh itu, jangan terpedaya dengan sambutan hari ibu jika ia bermaksud mengkhususkan hari tertentu. Tambahan pula hanya sehari sahaja. Ingatlah, kek, hadiah dan ucapan yang kita berikan kepada mereka bedua pada hari ibu tidak akan boleh menutup baki tiga ratus enam puluh lima hari yang lain tanpa sebarang kebajikan kepada mereka. Apatah lagi jika ia dipenuhi dengan perbuatan yang melukakan dan mengasari mereka berdua. Derhaka terhadap kedua ibu bapa termasuk daripada dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Bakrah daripada ayahnya bahawa nabi bersabda:

Mahukah kamu aku beritahu tentang sebesar-besar dosa besar? Diulang tiga kali. Mereka menjawab: bahkan ya Rasulullah SAW. Nabi berkata: mensyirikkan Allah SWT dan derhaka kepada kedua ibu bapa, nabi duduk dan kemudian berdia lalu berkata: dan berkata dusta. (Riwayat al-Bukhari)

13. Sebaris dengan kedua ibu bapa adalah datuk, nenek dan ke atas. Begitu juga dengan ibu dan ayah mertua kita. Buatlah sesuatu sementara mereka berdua masih hidup di dunia ini, yang kita tidak akan menyesal selepas kematian mereka jika kita tidak lakukannya sekarang. Jenguk dan ziarahilah mereka dengan berpakat sesama adik beradik. Tidak perlu tunggu orang lain dan terlalu berkira dengan sesama adik beradik. Tanyalah khabar mereka berdua jika tiada kesempatan masa utuk pulang. Gembirakanlah hati mereka berdua walaupun kita terluka dan sengsara. Doakanlah mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 24:

@è%ur Éb>§‘ $yJßg÷Hxqö‘$# $yJx. ’ÎT$u‹­/u‘ #ZŽ�Éó|¹

14. Kesimpulannya, berbuat baik kepada ibu bapa adalah kewajipan agama. Ia tidak khusus untuk masa dan tempat tertentu. Bahkan ia merentas sempadan dunia dan akhirat. Mengapa masih perlu hari ibu?

Seumer http://hjanhar.blogspot.com/2011/05/mengapa-hari-ibu.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...