I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, May 17, 2011

KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA


Perkara yang pertama yang harus anda semua ketahui ialah Dunia Islam terbahagi kepada dua jenis:

Jenis pertama :

Negara di mana orang-orang Islam merupakan kumpulan minoriti dan tampuk pemerintahannya berada di tangan orang lain (bukan Islam).

Jenis kedua :

Negara yang majoriti (sebahagian besar) penduduknya terdiri dari orang-orang Islam
dan mereka sendiri menerajui pemerintahan.

Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa kelompok yang kedua ini lebih penting dari kelompok yang pertama mengikut ukuran biasa. Kerana nasib umat Islam di dunia ini
benar-benar bergantung di atas maju atau mundurnya kelompok kedua ini, berdasarkan
sistem yang dipilih untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ini bukan bererti saya menafikan kepentingan kelompok yang pertama, malahan saya
memberi perhatian khusus untuknya, kerana dengan wujudnya orang-orang yang
beriman dengan satu akidah, satu fikrah dan satu sistem hidup yang berada di segenap

Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini

Penjuru alam ini, yang bilangan mereka ratusan ribu, malah lebih banyak, itulah sebenarnya sebesar-besar wasilah dan sekuat-kuat pendorong untuk membakar semangat orang-orang yang beriman dengan akidah, fikrah dan sistem tadi supaya hidup secara praktikal dan meninggikan panjinya.

Tetapi apabila akidah, pemikiran dan dakwah tadi telah kalah dalam kandang sendiri atau kedudukan terhina maka sudah terang orang-orang mukmin yang bertaburan disana sini di segenap pelusuk alam tidak akan di tanggung oleh bumi dan diteduhi oleh langit hingga sesuatu masa yang tidak dapat ditentukan, dan ianya bukan pendek pula.

MASA DEPAN NEGARA ISLAM IALAH MASA DEPAN UMATNYA

Bahawa masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri. Masa depan bergantung dengan masa depan negara
ummat Islam sendiri, sama ada baik atau buruknya. Sekarang kita ingin kemukakan:

- apakah keadaan yang sedang berlaku di negara-negara ummat Islam hari ini ?
- apakah sebab dan faktornya ?
- dan apakah cara dan metod yang mesti diikuti oleh orang-orang yang berkerja keras untuk
membela nasib umat Islam ?

PENJAJAHAN TANAH AIR BERUBAH KE ARAH PENJAJAHAN FIKIRAN

Pada akhir-akhir ini negara Ummat Islam telah jatuh ke dalam genggaman penjajah setelah ianya ditimpa oleh kemerosotan fikiran, kebekuan akal, keruntuhan moral dan kekacauan politik.

Pada abad ke 18, penjajah telah memacakkan tongkat penjajahan mereka di negara-negara
Islam dan dapat mencapai maksudnya pada awal abad ini. Penjajah telah dapat menguasai kebanyakan negara-negara Islam kecuali sedikit. Negara yang tidak dijajah secara langsung ini pula sentiasa menerima kekalahan demi kekalahan menyebabkan ianya tidak berbeza dari segi kehinaan dibanding dengan suasana yang menimpa negara-negara Islam yang dijajah penuh.. Mereka merasa serba kekurangan dan lebih gerun kepada penjajah dari negara-negara yang kemerdekaannya dirampas

Apa yang dapat kita lihat dibuat oleh musuh-musuh Islam itu ialah contohnya:

PERTAMA : Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan . Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA : Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

KETIGA : Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan
kehidupan manusia.

MENIRU GAYA HIDUP BUKAN ISLAM

Sesungguhnya kemerosotan pemikiran generasi ini telah sampai kemuncaknya :

PERTAMA : Meniru bahasa dan gaya hidup penjajah. Mereka menganggap bahawa bahasa sendiri adalah satu keaibpan sementara bercakap dalam bahasa penjajah satu kebanggaan bagi mereka. Ada di antara mereka yang merasa gelisah disebabkan mereka adalah orang-orang Islam sedangkan para penjajah adalah orang yang fanatik dengan ajaran kristian. Ada pula orang-orang Islam yang merasa bangga kerana mereka menyeleweng dari landasan Islam; disebabkan kebutaan mereka terhadap hukumhukumnya.

Mereka merombak tamaddun Islam yang luhur ini dengan segala makian atau tuduhan. Mereka menganggap dengan berbuat begitu, itu adalah cara untuk menambahkan kemuliaan, meningggikan kedudukan dan status mereka dalam masyarakat. Padahal penjajah-penjajah barat tetap merpertahankan peradaban dan tradisi mereka yang lapuk dan berpegang teguh dengan akidah mereka yang lemah.

KEDUA : Meniru pakaian dan fesyen penjajah. Sedangkan penjajah tidak pernah suka
memakai pakaian orang-orang Islam. Mereka tidak pernah mengikut tingkah laku
kehidupan orang Islam walaupun hanya sekejap, sekalipun mereka hidup dalam negara
ummat Islam seumur hidup mereka.

KETIGA : Meniru cara makan atau minum dan adat istiadat penjajah. Golongan yang berhaluan barat tanpa merasa malu berusaha untuk meniru cara hidup orang-orang barat dalam semua aspek - kecil dan besar. Bermula dari cara makan dan minum mereka sehinggalah kepada adat istiadat seperti cara berdiri dan duduk. Akhirnya mereka masuk ke dalam setiap lubang yang dimasuki oleh orang-orang barat, sekalipun ketika mereka berada di negeri-negeri mereka sendiri (negeri-negeri Islam). Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka merpertahankan cara hidup barat dan mengikut semua peninggalan mereka. Mereka telah terhidu fahaman kebendaan (materialisma), idealisma (fikiran yang tidak mengaku kewujudan tuhan) seperti nasionalisma jahiliah, pergaulan bebas, mendedahkan aurat dan mabuk.

p/s: mencari pemimpin ISLAM masa kini adalah seperti mencari permata yang hilang dalam sepihan kaca.

Tuesday, May 10, 2011

MENGAPA HARI IBU?


1. Terdapat banyak jenis hari dalam kehidupan kita. Tidak cukup dengan tujuh hari yang telah diterima pakai oleh seluruh manusia, ditambah pula dengan hari Ibu. Wujud juga jenis hari yang lain seperti hari bapa, dan tidak mustahil akan dicipta pula hari isteri dan suami selepas ini. Tidak berapa lama lagi kita akan menyambut hari guru pula.

2. Telah banyak komen tentang hari ibu ini, ada yang pro dan ada yang kontra dengan hujjah masing-masing. Sehingga ada yang membuat kesimpulan bahawa haram hukumnya menyambut hari ibu kerana ia berasal daripada agama lain. Tidak semudah itu untuk menghukum. Di sini bukan untuk mengulas pro atau kontra, kerana boleh jadi bagus ada hari ibu ini bagi mereka yang memang tidak pernah mengingati dan mendoakan kedua orang tuanya. Maka hari ibu menjadi tazkirah baginya. Adapun bagi mereka yang sentiasa ingin menjadi anak soleh, maka hari ibu ini tidak bernilai sedikit pun, kerana baginya hari ibu adalah setiap hari.
3. Setiap hari adalah hari ibu, bahkan hari bapa juga sebenanrnya, kerana Allah Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita agar bersyukur kepadaNya dan kepada kedua ibu bapa kita. Allah SWT telah anugerahkan pelbagai nikmat kepada kita, dan salah satu nikmat tersebut ialah lahirnya kita ke atas muka bumi yang fana’ ini. Kita lahir dan wujud adalah kerana ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 12:

Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepadaKulah kamu kembali.

4. Ibu bapa berada pada kedudukan yang tinggi dalam konteks kesyukuran yang perlu diterjemahkan dengan tindakan dalam kehidupan seharian, bukannya sehari dalam setahun. Kita bersyukur kepada Allah kerana Dia adalah pemilik nikmat, maka begitu juga kedua ibu bapa yang dengannya kita mendapat nikmat Allah Azza wa Jalla.

5. Kedua ibu bapa berhak untuk menerima ucapan terima kasih dan syukur, namun ia tidak memadai jika sehari dalam setahun. Oleh sebab itulah Allah berfirman sejurus selepas menceritakan perihal orang yang beriman dan beramal soleh, firmannNya dalam surah al-Ankabut ayat 14 bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh berhenti menyusunya ialah dalam masa dua tahun.

6. Maka kita diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla untuk melakukan semua perkara kebaikan terhadap kedua ibu bapa kita. Khususnya ibu kita yang telah mengandungkan, melahirkan dan menjaga kita sewaktu kecil. Oleh sebab itu Islam mengajar kita agar mengutamakan seorang ibu. Diriwayatkan daripada Bahzu bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya berkata:

Ya Rasulullah SAW, dengan siapakah perlu aku berbuat baik? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Aku bertanya lagi: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ayahmu. (Riwayat al-Tirmizi)

7. Setiap hari adalah hari ibu bapa. Sebanyak mana kebaikan yang dilakukan oleh seseorang terhadap kedua ibu bapanya, ia masih tidak setimpal dengan pengorbanan dan kasih sayang yang di berikan oleh mereka berdua. Ibn Hajar al-Haithami (973H) menyatakan:

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar melihat seorang lelaki yang mendukung ibunya di belakangnya sambil melakukan tawaf, dia berkata: Wahai Ibn Umar, adakah engkau telah melihat aku membalas jasanya? Ibn Umar menjawab: Belum lagi walau sedikitpun, tetapi kamu telah melakukan kebaikan, Allah SWT akan memberikan ganjaran yang banyak ke atas yang sedikit. (Ibn Hajar al-Haithami: al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair, Maktabah al-‘Asriah, Lubnan, jld 2 hlmn 650)

8. Oleh itu, sangat pelik jika kita mengkhususkan sehari sahaja untuk ibu bapa kita. Jika sepanjang hayat kita mengabdikan diri untuk mereka, sedikit pun tidak akan terbalas, inikan pula hanya sehari dalam setahun. Tambahan pula keberkatan hidup kita seluruhnya juga sangat bergantung dengan mereka berdua, kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Namun jika kita menyakiti mereka berdua, Allah tidak akan menangguhkan balasannya. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah bahawa nabi SAW bersabda:

Semua dosa, Allah SWT akan tangguhkan (balasannya) hingga hari kiamat jika Dia menghendakinya, kecuali dosa derhaka kepada kedua ibu bapa, Allah SWT akan percepatkannya ketika masih hidup sebelum meninggal dunia. (Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim)

9. Bagaimana hanya sehari sahaja dalam setahun?, sedangkan Islam memerintahkan kita untuk terus berbuat baik kepada keduanya walaupun selepas kematian mereka. Diriwayatkan daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah al-Sa’idi berkata, ketika kami bersama Rasulullah SAW, datang seorang lelaki daripada Bani Salamah berjumpa dengan nabi SAW lalu berkata:

Ya Rasulullah SAW, adakah masih ada lagi sebarang kebaikan yang boleh aku buat selepas kematian kedua ibu bapaku? Rasulullah SAW menjawab: Ya, doakan mereka berdua, pohonkan kempunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, sambungkan silaturrahmi yang tidak akan berlaku melainkan dengan mereka, dan muliakanlah kawan-kawan mereka berdua. (Riwayat Abu Daud)

10. Sehari tidak cukup, kita memerlukan lebih banyak masa dan tindakan. Para ulama’ juga memberikan pandangan terhadap amalan yang boleh menjadikan kita dikira berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Antaranya ialah Imam Ahmad, katanya:

Barangsiapa yang mendoakan untuk kedua-duanya ketika tahiyat di dalam solat, maka dia telah berbuat baik kepada mereka. Dan lebih afdhal jika seseorang bersedekah, maka diniatkan separuh pahalanya untuk mereka berdua.

11. Islam mendidik manusia supaya meletakkan kedua ibu bapa pada darjat yang tinggi. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia sebelum ini. Sehingga beberapa hukum dalam syariah juga dapat kita kesan menuju ke arah itu, hasil daripada istinbat dan istidlal pelbagai nas sama ada umum atau khusus. Ibn Qudamah (620H) menyatakan:

Tidak dikenakan hudud ke atas ibu bapa di dalam qisas, curi dan qazaf. Bagi seorang ayah boleh mengambil harta anaknya jika memerlukan, dengan syarat tidak berniat buruk, bukan untuk kepentingannya dan bukan untuk diberikan kepada anaknya yang lain. (Ibn Qudamah, al-Mughni)  

Manakala Ibn Muflih (763H) pula menegaskan bahawa:

Tidak boleh bagi seorang anak menuntut hutang daripada kedua ibu bapanya, tidak boleh meminta gantian barang yang rosak, dan juga tidak boleh menuntut pampasan jenayah daripada mereka. (al-Mubdi’ fi Syarh a-Muqni’, al-Maktab al-Islami, Beirut, jld 5 hlmn 384)

12. Begitu sekali peraturan dalam Syariat Islam. Oleh itu, jangan terpedaya dengan sambutan hari ibu jika ia bermaksud mengkhususkan hari tertentu. Tambahan pula hanya sehari sahaja. Ingatlah, kek, hadiah dan ucapan yang kita berikan kepada mereka bedua pada hari ibu tidak akan boleh menutup baki tiga ratus enam puluh lima hari yang lain tanpa sebarang kebajikan kepada mereka. Apatah lagi jika ia dipenuhi dengan perbuatan yang melukakan dan mengasari mereka berdua. Derhaka terhadap kedua ibu bapa termasuk daripada dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Bakrah daripada ayahnya bahawa nabi bersabda:

Mahukah kamu aku beritahu tentang sebesar-besar dosa besar? Diulang tiga kali. Mereka menjawab: bahkan ya Rasulullah SAW. Nabi berkata: mensyirikkan Allah SWT dan derhaka kepada kedua ibu bapa, nabi duduk dan kemudian berdia lalu berkata: dan berkata dusta. (Riwayat al-Bukhari)

13. Sebaris dengan kedua ibu bapa adalah datuk, nenek dan ke atas. Begitu juga dengan ibu dan ayah mertua kita. Buatlah sesuatu sementara mereka berdua masih hidup di dunia ini, yang kita tidak akan menyesal selepas kematian mereka jika kita tidak lakukannya sekarang. Jenguk dan ziarahilah mereka dengan berpakat sesama adik beradik. Tidak perlu tunggu orang lain dan terlalu berkira dengan sesama adik beradik. Tanyalah khabar mereka berdua jika tiada kesempatan masa utuk pulang. Gembirakanlah hati mereka berdua walaupun kita terluka dan sengsara. Doakanlah mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 24:

@è%ur Éb>§‘ $yJßg÷Hxqö‘$# $yJx. ’ÃŽT$u‹­/u‘ #ZŽ�Éó|¹

14. Kesimpulannya, berbuat baik kepada ibu bapa adalah kewajipan agama. Ia tidak khusus untuk masa dan tempat tertentu. Bahkan ia merentas sempadan dunia dan akhirat. Mengapa masih perlu hari ibu?

Seumer http://hjanhar.blogspot.com/2011/05/mengapa-hari-ibu.html

Monday, May 9, 2011

EMPAT KEBURUKAN YANG MEMBAWA MUDARAT MISTI DIJAUHI


Ilmu kurang dimanfaat, jiwa gelisah, nafsu makan dan doa ditolak dapat diatasi dengan iman

EMPAT keburukan perlu dijauhkan untuk menyelamatkan diri daripada kemudaratan serta kerugian iaitu ilmu yang tidak dimanfaatkan, hati tidak khusyuk, nafsu tidak pernah kenyang dan doa tidak dimakbulkan.

Perkara itu terkandung dalam doa diajar Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah kenyang dan daripada doa tidak dimakbulkan. " (Hadis riwayat Muslim)

Ilmu tidak bermanfaat ialah pengetahuan yang tidak membawa kebaikan atau menyebabkan seseorang semakin jauh daripada jalan Allah sehingga iman yang sepatutnya bertambah, sebaliknya menjadi berkurangan.

Ilmu bermanfaat bukan saja membuka minda lebih luas, malah meningkatkan semangat seseorang mencari lebih banyak pengetahuan yang mendekatkannya kepada Allah dan pada masa sama menggunakannya demi memajukan diri, agama, masyarakat serta negara.

Mereka berakal iaitu yang sentiasa berfikir sentiasa mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah yang bermaksud: "Ada tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya) berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang zalim itu seorang pun penolong." (Surah al-Imran, ayat 190-191)

Orang yang menggunakan akal fikiran dengan melakukan pengamatan terhadap alam sambil mengingati Allah, lalu mereka segera teringat akan kehidupan di akhirat pasti termasuk mereka yang beruntung. Inilah gambaran mereka yang berakal dan cerdik memilih ilmu untuk diamalkan. Mereka tekun dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka mengambil berat untuk memastikan ilmu diperoleh itu mesti menjadikan mereka lebih dekat dan tunduk kepada Allah.

Keburukan berikutnya adalah memiliki hati yang tidak khusyuk iaitu yang tidak tunduk kepada Allah. Hati liar dan tidak bersandar kepada Allah dalam menggapai ketenteraman serta kejernihan jiwa. Ciri orang beriman ialah mengingati Allah dan hati mereka menjadi tenteram. Firman Allah bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'du, ayat 28)

Begitulah pentingnya memiliki hati khusyuk sehingga Allah memperingatkan kita supaya waspada terhadap ketandusan atau kegersangan hati. Hal ini wujud apabila orang beriman terlalu lama mengabaikan ayat Allah sehingga hati menjadi tidak khusyuk dan lalai.

Satu-satunya cara ialah kembali menghidupkan ingatan dan perhatian terhadap ayat Allah, bukan saja ayat al-Quran, tetapi yang terkandung dalam penciptaan langit, bumi dan alam akhirat. Hidupkan makna ayat itu dalam kehidupan.

Firman Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman, untuk tunduk (khusyuk) hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang suda turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang sebelumnya diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

Nafsu yang tidak pernah kenyang mudah terkesan dengan banyak fitnah yang tersebar, sehingga tawaran untuk menuruti hawa nafsu di sekeliling tidak dapat dielak. Hampir dalam semua keadaan ada peluang dan ruang untuk menuruti hawa nafsu dan dengan mudah dituruti. Oleh itu, kekuatan iman diperlukan sebagai benteng kerana Islam tidak membunuh nafsu tetapi menegaskan keperluan mendidik nafsu supaya manusia jangan cepat hanyut dipengaruhi kehendak hawa nafsu.

Apabila ia dilakukan dengan syariat, bukan saja seseorang terbebas daripada dosa bahkan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah kerana memenuhi hawa nafsu sesuai dengan syariat Allah. Sesungguhnya antara sahabat Rasulullah SAW ada yang berkata: "Ya Rasulullah, orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan solat seperti kami mengerjakan solat, dan mereka berpuasa seperti kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bukankah Allah menjadikan bagimu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh seseorang kepada kebaikan adalah sedekah dan tidur seorang kamu dengan isterinya adalah sedekah."

Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah jika salah seorang daripada kami menyalurkan hawa nafsunya, apakah ia mendapat pahala? Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah kamu tahu, apabila seseorang menyalurkan nafsunya kepada yang haram, dia berdosa? Demikian pula apabila disalurkan kepada yang halal, dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Muslim)

Bayangkan seorang Muslim berdoa kepada Allah, namun tidak dimakbulkan. Jelas ini adalah musibah sedangkan Allah menjamin jika seseorang memohon sesuatu kepada-Nya, pasti di makbulkan. Bagaimanapun, ada syaratnya iaitu memohon hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya.

Kedua, penuhi segala perintah Allah dan ketiga, beriman dengan sebenarnya kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sunday, May 8, 2011

Sejarah Hari Ibu


"Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Sumber : www.mothersdaycentral.com


Pandangan: Sesuatu yang baik tidak seharusya dipraktikkan berdasarkan niat dan acuan orang lain, kita dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan - Juragan"

Tuesday, May 3, 2011

Berkapel & Displin Dalam Bertunang


 
Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)
4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam. 
6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.


Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini

Sekian, Wallahu'alam.


Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...